Jelajah Astro Kem Badminton (AKB) 2026 melabuhkan tirainya minggu ini dengan hentian terakhir di Arena Sukan Kuala Lumpur selepas berjaya menghimpunkan lebih 1,800 pemain muda dari seluruh negara sepanjang penganjurannya tahun ini. Program anjuran Astro dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu terus memperkukuhkan peranannya dalam pembangunan badminton akar umbi di Malaysia.

Kemuncak jelajah selama tiga hari di Arena Sukan Kuala Lumpur itu menjadi penutup rasmi kepada siri jelajah AKB 2026 yang sebelum ini telah berlangsung di SJKC Yuk Chai sebelum diteruskan ke Pulau Pinang, Johor dan Miri.
Advertisement
Peserta berusia antara 10 hingga 12 tahun diberikan pendedahan kepada pelbagai latihan asas badminton termasuk teknik ‘dropshot’, ‘smash’ dan ‘lob’. Mereka kemudian diuji menerusi perlawanan persahabatan bagi mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang kem berlangsung.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Astro Kem Badminton telah melatih lebih 25,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia. Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada bakat muda untuk mengembangkan potensi dalam sukan badminton, malah memastikan peluang latihan yang sama rata diberikan kepada peserta lelaki dan perempuan di bawah bimbingan jurulatih bertauliah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata pembangunan akar umbi memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan generasi muda.
“Sebagai Home of Sports, kami percaya inspirasi perlu bermula sejak awal apabila kanak-kanak diberi peluang, latihan dan keyakinan bahawa mereka boleh pergi lebih jauh. Di peringkat akar umbi, kami bukan sekadar membangunkan atlet tetapi turut membentuk keyakinan diri, disiplin dan daya tahan yang akan dibawa sepanjang hayat mereka,” katanya.
Menurut beliau, walaupun pencarian bakat menjadi salah satu fokus utama program tersebut, aspek pendidikan dan pembentukan karakter kanak-kanak tetap menjadi teras utama Astro Kem Badminton.
Turut memeriahkan acara penutup di Arena Sukan Kuala Lumpur ialah barisan pelakon filem Tangkis terbitan Astro Ceria, Imran Aqil dan Wani Kayrie. Kehadiran mereka bersama Euan Smith menceriakan suasana apabila turut berinteraksi dengan peserta menerusi aktiviti dan perlawanan santai sepanjang program berlangsung.
Sokongan ibu bapa dan guru turut menjadi antara elemen paling mencuri perhatian sepanjang Jelajah AKB 2026. Ada dalam kalangan ibu bapa yang sanggup merentas negeri demi menemani anak-anak menyertai program berkenaan. Ramai juga dilihat tidak melepaskan peluang merakam momen anak-anak mereka ketika sesi latihan dan perlawanan berlangsung.
Malah, ketika waktu rehat, beberapa peserta dilihat berlari mendapatkan ibu bapa masing-masing untuk mendapatkan semangat sebelum kembali ke gelanggang bagi meneruskan latihan.
Walaupun jelajah tahun ini telah berakhir, perjalanan peserta terpilih masih diteruskan. Peserta terbaik dari keempat-empat negeri akan menghadiri Kem Pemilihan KL AKB pada Julai 2026 bagi menjalani latihan serta penilaian tambahan sebagai sebahagian daripada pembangunan program.
Daripada kem tersebut, peserta terbaik pula akan dipilih untuk menyertai Kem Latihan Serantau AKB di Thailand pada Disember 2026. Program itu bakal memberi pendedahan kepada latihan bertaraf lebih tinggi serta pengalaman pembangunan antarabangsa kepada pemain muda terpilih.
Kini memasuki tahun ke-13 penganjurannya, Astro Kem Badminton terus menjadi platform penting dalam membantu pemain muda Malaysia meningkatkan kemahiran, memperoleh pengalaman kompetitif dan melangkah lebih jauh dalam arena badminton, di samping membentuk jati diri serta persediaan masa depan mereka di luar gelanggang.