Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Nadiya Nisaa Tegur Sikap Segelintir Pelakon Baharu, “Jangan Asyik Tanya Okay Ke Tak Lepas Setiap Take”

Gambar: Podcast Confession Bilik Gelap

Pelakon versatil Nadiya Nisaa percaya perjalanan untuk menjadi pelakon yang baik tidak pernah berakhir, walaupun seseorang itu sudah bertahun-tahun berada dalam industri seni. Menerusi podcast Confession Bilik Gelap terbitan SYOK, beliau berkongsi pandangan jujur mengenai realiti dunia lakonan dan kepentingan pembelajaran berterusan. 

Menurut Nadiya, setiap pengalaman di set penggambaran sama ada berjaya, gagal atau berdepan sebarang cabaran merupakan sebahagian daripada proses pembentukan diri sebagai pelakon yang lebih baik. Baginya, seseorang anak seni perlu sentiasa memperbaiki diri dan tidak boleh merasakan dirinya sudah cukup hebat.

Dalam masa sama, Nadiya turut menyentuh tentang sikap segelintir pelakon baharu yang menurutnya terlalu bergantung kepada maklum balas selepas setiap babak dirakam.

Katanya, ada pelakon yang akan bertanya,“Okay ke tak?” setiap kali selesai melakukan take. Namun bagi Nadiya, persediaan sebenar sepatutnya dilakukan sebelum melangkah masuk ke set penggambaran.

“Kalau dah sampai ke set, sepatutnya dah bersedialah, saya pun dulu datang set belajar, tetapi bukan setiap masa saya bertanya nak kena buat macam mana. Macam tak hidup, you kena hidup dan bernafas... " ujar beliau, menggambarkan kepentingan kerja rumah yang perlu dilakukan oleh seseorang pelakon sebelum kamera mula merakam.

Pandangan itu mencerminkan profesionalisme yang sering ditekankan oleh pelakon berpengalaman. Dalam industri yang bergerak pantas, persediaan awal bukan sahaja membantu melancarkan penggambaran malah memberi keyakinan kepada pelakon untuk memberikan persembahan terbaik tanpa perlu terlalu bergantung kepada pengesahan daripada orang lain.

Walaupun begitu, teguran Nadiya dilihat sebagai satu nasihat membina buat generasi baharu dalam industri. Beliau tidak menolak proses belajar, sebaliknya menegaskan bahawa usaha untuk belajar perlu bermula lebih awal dan dilakukan secara berterusan, bukan hanya ketika berada di hadapan kamera.

Bagi Nadiya, menjadi pelakon yang baik bukan sekadar soal populariti atau tempoh berada dalam industri, tetapi keupayaan untuk terus berkembang, menerima kritikan dan memperbaiki kelemahan diri daripada semasa ke semasa.

Jelasnya, bakat boleh membuka pintu peluang, tetapi persediaan dan disiplin adalah kunci untuk kekal relevan dalam dunia seni yang penuh persaingan. 

Sumber: Tiktok (syoksyoksyok)

Advertisement

Advertisement