Selepas pamer prestasi kurang konsisten pada 3 kejohanan di Thailand Januari lalu, skuad badminton negara nampak lebih meyakinkan pada Terbuka Switzerland.

Paling cemerlang ialah skuad beregu lelaki negara. Daripada 5 penyertaan, 4 daripadanya berjaya mara ke pusingan kedua termasuklah pilihan utama kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Beregu lelaki utama negara itu kalahkan wakil New Zealand dengan straight set.

Turut mara ialah beregu profesional Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan gandingan muda, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong. Satu-satunya beregu lelaki negara yang tersingkir pada pusingan pertama ini ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin. Gandingan muda negara ini tewas dalam penentuan rubber game kepada pilihan ke-6 kejohanan dari Denmark. Ok la lawan pilihan ke-6, tak ada la teruk sangat.

Lain pula ceritanya dalam acara perseorangan lelaki. Malaysia menghantar 3 wakil dan 2 daripadanya telah pun tersingkir. Soong Joo Ven dan Liew Daren tewas straight set kepada lawan masing-masing. Wakil negara yang masih meneruskan perjuangan dalam acara perseorangan lelaki ini tak lain tak bukan ialah Lee Zii Jia. Zii Jia yang tekad untuk pamer aksi terbaik pada kejohanan ini tewaskan wakil Rusia dengan straight set.

Bagi acara beregu wanita, kedua-dua wakil negara iaitu pilihan kedua, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan gandingan muda, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke pusingan kedua. Kedua-dua mereka menang straight set ke atas lawan masing-masing. Manakala satu lagi wakil negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Paling mengecewakan ialah acara perseorangan wanita. Perjuangan Malaysia tamat selepas wakil tunggal, Soniia Cheah tewas kepada wakil Jerman. Soniia yang memenangi set pertama 21-15 gagal teruskan momentum apabila tewas 2 set berikutnya kepada Yvonne Li yang berada di ranking ke-25 dunia.

Akhir sekali, acara beregu campuran. Malaysia masih miliki 3 wakil dalam acara ini termasuk, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Mereka akan berdepan wakil Perancis pada pusingan kedua yang sebelum ini menumpaskan wakil negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan straight set. Selain Peng Soon-Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua selepas tumpaskan lawan masing-masing.
Memandangkan tidak ramai nama-nama besar yang menyertai Terbuka Switzerland kali ini, ia merupakan peluang terbaik pemain negara untuk mengumpul sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada kejohanan ini. Sama-sama kita berharap bahawa pemain negara mampu teruskan persembahan cemerlang ini untuk mara lebih jauh. Kalau dah mara jauh, makin banyak la mereka kutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik nanti.
Oleh: Karami Kamel
Gaya Hidup